- Hits: 49
9-10/10/2025 - KURSUS MASTERCLASS PENGAUDITAN PROJEK ICT SIRI 1

Bahagian Audit Dalam (IAD) UiTM Shah Alam telah menganjurkan Kursus Masterclass Pelaksanaan Pengauditan Projek ICT Siri I yang berlangsung selama dua hari pada 9 dan 10 Oktober 2025 bertempat di Hotel UiTM Shah Alam. Penganjuran program ini merupakan kesinambungan usaha jabatan dalam menyediakan platform latihan kepakaran khusus yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2022, siri program anjuran IAD sentiasa mendapat sambutan luar biasa sebagai salah satu inisiatif utama penjanaan pendapatan jabatan. Portfolio penganjuran sebelum ini secara konsisten menarik kehadiran melebihi 80 peserta, malah pernah mencecah rekod tertinggi seramai 130 orang pada tahun 2024. Namun untuk siri Masterclass 2025 ini, IAD mengambil pendekatan berbeza dengan mengehadkan penyertaan kepada 45 orang sahaja bagi memastikan impak pembelajaran yang lebih fokus dan berkualiti.
SINERGI DUA SEKTOR & LUAR NEGARA
Program kali ini berjaya menghimpunkan kumpulan sasar yang tepat, merangkumi para auditor serta kakitangan Jabatan IT daripada sektor kerajaan mahupun swasta. Dengan kadar yuran RM 759.00 (dalam negara) dan RM 890.00 (luar negara), platform ini membuktikan pengisian yang ditawarkan mempunyai nilai pasaran yang tinggi dan relevan dengan keperluan industri semasa.
KOMBINASI ILMU & PENGALAMAN REALITI
Sepanjang dua hari, peserta didedahkan secara hulu-ke-hilir mengenai seluk-beluk pengauditan ICT melalui kepakaran barisan penceramah jemputan dari Jabatan Digital Negara dan Jabatan Audit Negara:
• Puan Indra Dang Anom Osman & Ts. Ruhana Abd Rahman (Jabatan Digital Negara)
• Puan Nurul Huda Ismail & Dr. Daniel Mohd Nassir (Jabatan Audit Negara)
Antara pengisian utama termasuklah rangka kerja dan metodologi pengauditan, semakan dokumen kritikal seperti BRS dan SRS, penilaian kawalan dalaman, serta kupasan kes-kes sebenar di sektor awam.
MELANGKAUI PENJANAAN PENDAPATAN: ILMU & JARINGAN STRATEGIK
Bagi IAD UiTM, pulangan terbesar program ini sebenarnya melangkaui angka kutipan yuran. Kehadiran pakar-pakar industri ini dimanfaatkan sepenuhnya sebagai peluang untuk auditor UiTM sendiri turut serta belajar bagi meningkatkan kompetensi dan prestasi kerja secara berterusan.
Pada masa yang sama, program ini menjadi platform terbaik dalam memperluas jaringan strategik (networking) bersama agensi luar. Hubungan kerjasama dan perkongsian ilmu ini pastinya memberi nilai tambah yang praktikal terhadap pengukuhan tadbir urus di peringkat universiti mahupun negara.







